JERMAN 1 ENGLAND 0

Pengurus England, Gareth Southgate, percaya skuad Three Lions sepatutnya menewaskan Jerman sambil memuji persembahan anak buahnya di sebalik kekalahan 1-0 kepada juara dunia itu, awal pagi tadi.


Rembatan deras dari luar kotak penalti pada babak kedua daripada Lukas Podolski untuk penampilan antarabangsa terakhirnya bersama Jerman menjadi pemutus kepada aksi persahabatan di Dortmund itu.

Bagaimanapun, prestasi England dilabel lebih baik dan tidak bernasib baik untuk merosakkan parti di Signal Iduna Park, susulan percubaan Adam Lallana terkena tiang gol dan Dele Alli terlepas peluang dalam situasi satu lawan satu.

"Saya sangat gembira dengan pengalaman ini dan cara persembahan kami. Yang kurang cuma penyudah. Kami sepatutnya menang," kata Southgate.

"Saya amat gembira dengan prestasi kami, banyak persembahan individu yang cemerlang. Apa yang paling penting adalah sistem taktikal baru yang kami cuba, pemain melaksanakannya dengan baik dan ia sesuai dengan pemain yang kami ada.

"Ia juga sesuai dengan lawan yang kami hadapi. Kami tidak gembira dengan kekalahan tetapi dalam permainan seperti ini, adalah penting untuk belajar sesuatu dan mencuba perkara-perkara baru.

"Saya berasakan kami telah melakukannya dan saya mahu pemain meneruskan apa yang mereka telah lakukan."

Southgate menerapkan formasi eksperimen 3-4-3 dan pelawat kelihatan selesa di Jerman dengan pemain pertahanan tengah, Michael Keane, membuat kemunculan pertama di sebelah kanan manakala James Ward-Prowse dan Nathan Redmond membuat penampilan sebagai pemain gantian.

Ditanya mengenai sistem permainan itu, Southgate berkata: "Saya yakin kami akan menggunakannya lagi, ia adalah satu pilihan yang hebat untuk kami. Saya fikir kebanyakan pemain sudah terbiasa dengannya di kelab mereka. Ia membantu.

"Kami juga telah mengetengahkan beberapa pemain licik dan ia menyenangkan kerana saya fikir kami perlukan kebolehan itu dan kami membuktikannya.

"Ia adalah bagus untuk kedua-dua pemain muda kami pada hujung perlawanan untuk mengutip pengalaman bola sepak antarabangsa.

"Saya sangat gembira dengan aksi Michael Keane, saya fikir dia telah melalui penampilan sulung yang sangat baik dan boleh berbangga dengan semua itu.

"Dia menggunakan bola dan bertahan dengan baik.

"Secara keseluruhannya, kami memberi persembahan yang baik. Kami telah kalah kepada jaringan dongeng."