MONTENEGRO 1 ENGLAND 5

Pengurus England, Gareth Southgate, menegaskan pertahanan kiri pasukannya, Danny Rose, telah diejek dengan isu perkauman oleh penyokong Montenegro ketika perlawanan pusingan kelayakan Euro 2020 di Podgorica, awal pagi tadi.


Skuad kendalian Southgate itu memaparkan aksi cemerlang untuk bangkit daripada ketinggalan dengan membelasah Montenegro 5-1 ketika Ross Barkley memegang watak wira The Three Lions menerusi dua gol dan satu bantuan jaringan.

Bagaimanapun, ejekan berbaur perkauman yang kedengaran ditujukan kepada pemain England pada lewat permainan mencemarkan perlawanan itu dengan Raheem Sterling turut memberikan reaksi balas sewaktu menjaringkan gol kelima England.

Keadaan itu tiba selepas Rose dipersalahkan ekoran terjahan kerasnya dalam babak kedua dan wartawan mendakwa kutukan dan ejekan itu ditujukan kepada pertahanan Tottenham Hotspur tersebut.

Southgate mengakui dia turut mendengar ejekan itu dan mengesahkan England akan melaporkan insiden itu kepada Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).

Bercakap kepada ITV selepas tamat perlawanan, Southgate berkata: "Saya sememangnya mendengar ejekan yang dilaungkan mereka ketika Danny Rose dilayangkan kad kuning pada lewat permainan.

"Tiada sebarang keraguan terlintas di fikiran saya tentang apa yang berlaku dan kami akan melaporkannya kepada UEFA.

"Ia sememangnya tidak boleh diterima.

"Saya sempat memberitahu Danny yang saya sedar akan ejekan itu, namun saya masih belum berpeluang untuk bercakap dengan Raheem lagi.

"Saya tidak mahu mencetus spekulasi, namun saya tahu apa yang saya dengari.

"Kami akan menyelesaikannya dengan jalan yang betul.

"Kami perlu memastikan yang kami menyokong pemain kami," katanya.