Paul Pogba menegaskan kepentingan kepercayaan di antara pemain Manchester United dan pengurus sementara, Ole Gunnar Solskjaer, selepas kejayaan menundukkan Chelsea 2-0 dalam aksi pusingan kelima Piala FA, awal pagi tadi.

United bertandang ke Stamford Bridge selepas ditewaskan Paris Saint-Germain (PSG) 2-0 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah sehingga memberi tamparan kepada kempen mereka di pentas Eropah.

Tekanan semakin memuncak apabila pemerhati bola sepak mengingatkan rekod United yang tidak menang dalam sembilan perlawanan terakhir di Stamford Bridge.

Kecederaan yang melanda pemain utama seperti Anthony Martial dan Jesse Lingard memaksa Solskjaer mengubah percaturan, namun dia tetap berjaya mendapatkan prestasi terbaik daripada anak buahnya.

"Ia adalah kemenangan yang hebat daripada pasukan," kata Pogba.

"Tidak mudah untuk mencapai kemenangan tetapi kami melakukannya dan benar-benar teruja.

"Jelas sekali, seperti apa yang saya katakan sebelum ini, kami adalah Manchester United, kami bermain untuk memenangi trofi dan Solskjaer memegang jawatan ini kerana dia layak.

"Dia percayakan kami dan kami juga percayakannya. Kami mahu menjulang Piala FA. Anda tidak akan tahu boleh atau tidak tetapi kami akan berusaha mendapatkannya."

Pemain tengah United, Ander Herrera, dilihat memainkan peranan utama di bahagian tengah sejak Solskjaer tiba menggantikan Jose Mourinho.

Namun, pemain dari Sepanyol itu memilih untuk memberi pujian kepada pemain yang masuk dalam babak kedua ketika aksi awal pagi tadi seperti Alexis Sanchez, Andreas Pereira dan Scott McTominay setelah mempamerkan disiplin tinggi.

"Kami tahu bagaimana untuk berdepan Chelsea. Saya beraksi lebih menyerang kerana tahu mereka bergelut di bahagian tersebut," ujar Herrera.

"Namun, saya mahu bercakap mengenai Sanchez, Pereira dan McTominay apabila masuk ke padang. Semua pemain, terutama Sanchez, mempamerkan semangat juang. Ini adalah Manchester United dan ini yang kami mahukan."