Pasukan Kuala Lumpur membatalkan latihan pra-musim di Bangkok selepas ejen yang mengatur kunjungan mereka ke sana gagal mendapatkan lawan berkualiti untuk skuad Warga Kota.

Jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Joaquim Maciel da Silva, mengesahkan perkara itu sambil berkata ia tidak mencapai matlamat jika pasukannya tidak dapat diuji dengan skuad berkualiti.

"Itu sebabnya saya mahu pergi ke sana. Jika kami ada perlawanan yang baik, kami boleh memberikan tumpuan lapan hari untuk tiga perlawanan di sana.

"Jika tidak, saya lebih memilih untuk berusaha di sini," katanya.

Kuala Lumpur pada mulanya dijadual bertemu tiga kelab Liga 1 Thailand, iaitu Police Tero FC, Bangkok Glass FC dan Muangthong United FC.

Dalam pada itu, Maciel mengesahkan pertahanan berpengalaman Singapura, Baihakki Khaizan, ada berbincang dengan pihak pengurusan Kuala Lumpur.

Katanya, Baihakki sedang memutuskan sama ada ke Kuala Lumpur atau menerima tawaran kelab divisyen dua Arab Saudi, Jeddah Club.

"Saya pernah bermain di sana tetapi seperti yang saya katakan, Kuala Lumpur adalah tempat menarik untuk didiami dengan orangnya juga menarik.

"Jadi, nasihat saya, dia boleh memilih untuk berada di sini atau membuat keputusan lain. Dia harus memilihnya sendiri dan ia boleh mengembirakannya," ujarnya.