Tonggak pertahanan skuad negara, Shahrom Kalam, memberi jaminan dia dan rakan sepasukan akan berjuang sehingga wisel penamat ketika berdepan Hong Kong dalam kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Hong Kong, Selasa ini.

Keyakinan Shahrom adalah kerana setiap pemain sedar tanggungjawab mereka untuk perlawanan penting itu.

Selepas hanya satu mata diraih dalam dua aksi kelayakan Kumpulan B, kemenangan wajib direalisasikan pada kali ini.

Shahrom turut percaya setiap pemain juga kini lebih mengenali skuad Hong Kong selepas terikat 1-1 di Melaka pada 5 September lalu.

"Moral kami dalam keadaan baik. Saya rasa pemain semua tahu tanggungjawab masing-masing. Kami perlu fokus dan kekalkan disiplin dan pemain semua sudah bersedia," katanya.

Dalam pada itu, Shahrom turut menyambut baik kehadiran lima pemain skuad bawah 22 tahun negara untuk perlawanan itu nanti.

Katanya, kehadiran pemain muda dijangka memberi ramuan tambahan buat skuad negara.

"Bagi saya, ini adalah perkara positif, pemain muda dapat sertai skuad senior. Jadi, itu kombinasi yang baik. Mungkin mereka lebih bertenaga dan boleh membantu kami daripada banyak segi," katanya lagi.