Skuad bola sepak pantai China lebih tenat daripada Malaysia

By Staff Writer 9 March 2017
Skuad bola sepak pantai China lebih tenat daripada Malaysia
"Jangan jadi seperti kami," itu luahan jurulatih skuad bola sepak pantai China, Ling Luhui, yang menegaskan pasukannya terpaksa bermula dari bawah selepas kegagalan mencari pemain pelapis dalam jangka masa agak lama.

Satu ketika dahulu, China juga merupakan antara kuasa besar Asia yang sering mencetuskan gerun kepada pihak lawan dalam mana-mana kejohanan.

Bagaimanapun, ketiadaan pelapis yang berwibawa menjadikan China kini seakan-akan hilang sengatnya, malah muncul sebagai pasukan belasahan dalam Kejohanan Bola Sepak Pantai AFC kali ini di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu.

Dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan semalam, China tewas 1-2 kepada skuad negara untuk menduduki tangga terbawah Kumpulan A tanpa sebarang mata.

Tegas Luhui, mereka kini dalam usaha untuk membina semula pasukan sekurang-kurangnya kembali pada tahap asal seperti sebelum ini.

"Ramai pemain berpengalaman telah bersara dan kini kami menggunakan khidmat pemain muda," katanya.

"Pengalaman amat penting berbanding pemain muda yang mudah hilang tumpuan sehingga senang membenarkan gol kepada pihak lawan.

"Itu menyukarkan kami, tetapi apa pun, saya tetap berpuas hati dengan prestasi anak buah saya."

Walaupun China dalam usaha memperbaiki kekuatan, Luhui tidak kekok mengharapkan usaha yang sama daripada Malaysia dengan turut melabelkan skuad negara sebagai pasukan berpotensi.

"Kalau mereka (Malaysia) kerap berlatih dan membentuk keserasian, terutama dalam corak permainan dan sepakan percuma, mereka boleh menjadi pasukan handalan Asia."

Sementara itu, jurulatih skuad negara, Ismail Zakaria, berkata prestasi China ketika ini merudum walaupun pernah menewaskan Malaysia 3-1 dalam Sukan Pantai Asia pada 2008 di Bali.

"Mereka pernah mengalahkan kami tetapi kemudian mereka lama menyepikan diri dalam bola sepak pantai.

"Dulu mereka memang hebat, tetapi prestasi mereka menurun kerana persiapan tidak rapi," katanya.
 

About Author

Staff Writer

Comment