Pengendali skuad B-19 negara, Bojan Hodak, berasakan pasukannya mempunyai peluang untuk memberikan cabaran dalam Kejohanan AFC B-19, Oktober depan, walaupun diundi dalam Kumpulan D bersama Arab Saudi, Tajikistan dan China.

Bagi Hodak, tiada lawan yang mudah dalam pusingan akhir kali ini dan setiap lawan tidak akan memberi laluan mudah buat skuad negara.

Namun, Hodak optimis barisan muda negara mempunyai peluang memberikan saingan lebih baik dalam Kumpulan D berbanding jika berada sekumpulan dengan lawan seperti Korea Selatan dan Jepun.

"Saya rasa dalam tiga perlawanan ini, kami bukan pilihan kerana secara jelas kami berada dalam balang keempat.

"Semua pasukan hebat tetapi tekanan tiada buat pemain-pemain kerana kami bukan pilihan," ujar Hodak.

Skuad B-19 negara akan memulakan latihan bulan Ramadan esok sebelum ke Bangkok untuk tiga aksi persahabatan dari 29 Mei ini hingga 5 Jun depan, termasuk satu perlawanan dengan skuad B-19 Thailand.

Dua tonggak skuad B-19 negara, Akhyar Rashid dan Hadi Fayyadh Abdul Razak, tidak akan bersama pasukan kali ini tetapi Hodak tidak berasa ia satu masalah buat pasukan kendaliannya.

"Semua pemain dari Liga Super tidak akan bersama kami kerana liga masih berjalan tetapi mereka akan kembali ketika aksi Kejohanan AFC B-19 dan Piala AFF B-19.

"Satu-satunya isu yang ada adalah mereka akan tiba lewat untuk persiapan pasukan kerana masih berdepan beberapa perlawanan," tambahnya.

Selain skuad B-19 Thailand, Hodak akan turut merangka aksi persahabatan sebelum menghadapi saingan pada Oktober nanti.