Pengurus skuad B-18 negara, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar, mahu pemainnya berguru di Timur Tengah sebagai persediaan sebelum menghadapi pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 di Phnom Penh, Kemboja, November depan.

Kertas kerja untuk merealisasikan hasrat itu telah diserahkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Walaupun masih dalam proses perbincangan, Kamarul Ariffin menganggap cetusan idea itu mampu melahirkan skuad yang lebih berpengalaman menerusi latihan dan beberapa aksi persahabatan seperti yang telah dicadangkan.

Tegasnya, skuad B-18 negara dianggap istimewa kerana mampu ke final Kejohanan AFF B-18 di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam -- yang berakhir semalam -- dengan mengatasi pasukan lain yang memiliki lebih pendedahan.

"Skuad ini hanya berusia 12 hari, berbanding Vietnam yang berkumpul selama dua bulan dan berkelana di Jepun.

"(Berbanding) Indonesia yang berkelana di Uruguay dan telah bersama selama enam bulan, kami hanya berkumpul selama 12 hari dan mara ke pentas akhir," katanya.

Dengan kesukaran jadual perlawanan padat yang perlu diharungi 23 pemain negara, ia membuktikan Kejohanan AFF B-18 merupakan pentas terbaik untuk menguji kemampuan mereka sebelum memulakan kempen pusingan kelayakan Kejohanan AFC.

"Lima perlawanan di peringkat kumpulan, kemudian dua perlawanan lagi dengan 23 pemain, cuba bayangkan, cuba bayangkan.

"Anda tidak bersama mereka, saya bersama mereka.

"Saya mempertahankan setiap pemain di bawah pengurusan saya.

"Mereka telah memberikan yang terbaik untuk negara," tambahnya.