SINGAPURA 0 MALAYSIA 0

Perlawanan persahabatan antarabangsa di antara Singapura dan Malaysia yang berlangsung di Stadium Nasional Singapura malam ini menyaksikan kedua-dua pasukan buntu untuk mencari jaringan.

Harimau Malaysia memiliki peluang terlebih dahulu untuk membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi gandingan di antara Azrif Nasrulhaq dan Hazwan Bakri.

Namun, bola hantaran Azrif gagal untuk disempurnakan oleh Hazwan, yang kelihatan sedikit gopoh untuk melakukan percubaan dari luar kotak penalti.

Gandingan di antara Faritz Hameed dan Haris Harun yang bertukar-tukar hantaran pada minit ke-14 hampir mengegarkan pintu gol pasukan negara apabila Faritz yang berjaya melepasi benteng pertahanan negara, melakukan rembatan tetapi berjaya ditepis oleh penjaga gol negara, Khairulazhan Khalid.

Berselang seminit kemudian, giliran Khairul Amri Mohammad Kamal mencuba untuk meletakkan pasukan Singapura di hadapan, namun percubaannya dari luar kotak penalti sedikit tersasar.

Minit ke-33 menyaksikan Amri Yahya mempunyai peluang untuk meletakkan pasukan negara di hadapan tetapi percubaannya ditampan oleh penjaga gol Singapura, Hassan Sunny.

Peluang keemasan Singapura untuk berada di hadapan pada minit ke-42 tidak kesampaian apabila dua percubaan daripada Khairul Amri dan Hariss Harun terkena palang.

Sebelum tamat separuh masa pertama, percubaan Hazwan untuk merobek pintu gol Singapura turut dikecewakan apabila percubaannya dari luar kotak penalti menuju tepat kepada penjaga gol tuan rumah itu.

Bersambung pada babak kedua, Singapura terus mencuba untuk mengasak pintu gol negara. Singapura berpeluang untuk mendahului pada minit ke-69 tetapi hantaran Khairul Amri gagal dibaca dengan baik oleh Baihakki Khaizan, dan Shahrom Kalam pantas mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Berselang dua minit, Singapura sekali lagi mengancam kubu negara apabila sepakan sudut Khairul Amri berjaya menemui Daniel Bennett tetapi tandukannya menyinggahi palang.

Minit ke-79 menyaksikan Malaysia yang menerima sepakan penjuru terus berusaha untuk memecah kebuntuan gol apabila sepakan penjuru pendek yang diambil oleh Irfan Fazail menemui Zaquan Adha Abd Radzak tetapi percubaan terusnya berjaya ditampan Hassan.

Keputusan tanpa jaringan kekal sehingga tamat perlawanan.