Pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone, tidak mahu memikirkan kemungkinan Antoine Griezmann akan meninggalkan pasukan pada hujung musim ini tetapi mahu meletakkan fokus kepada prestasi terbaik penyerangnya itu.

Griezmann dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona sebaik sahaja musim ini tamat tatkala wujud laporan di Sepanyol bahawa pemain Perancis dan kelab Catalan itu telah mencapai persetujuan awal.

Dia membuktikan mengapa banyak pihak mahukan khidmatnya apabila menjaringkan satu gol dan membuka ruang buat Vitolo menambah gol kedua ketika membantu Atletico menewaskan Celta Vigo 3-0 dalam aksi liga, lewat malam semalam.

Situasi itu membuatkan Simeone pasti akan terkesan sekiranya Griezmann memilih untuk berhijrah, namun pengurus Rojiblancos itu bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan.

"Saya harus bercakap tentang fakta dan realiti. Hari ini, dia bersama kami dan beraksi dengan baik, memberikan persembahan memukau buat penyokong.

"Dia menjaringkan gol, membantu jaringan kedua dan bekerja keras untuk pasukan. Itulah realitinya kerana apa yang berlaku esok, itu adalah kisah lain," kata Simeone.

Vitolo mempamerkan aksi memberansangkan di sebelah kiri pasukan, menggunakan kesempatan hasil gerakan Griezmann sebelum melambungkan bola melepasi Ruben Blanco dalam aksi di Wanda Metropolitano dan Simeone percaya bahawa dia kini mula mencapai tahap yang diperlukan Atletico.

"Dia semakin berkembang. Sejak pasukan mengecil kepada 17 pemain, semua akan terlibat.

"Saya cuba untuk menggunakan khidmat mereka dalam keadaan yang terbaik, jadi mereka boleh menyumbangkan sesuatu buat pasukan. Kini, dia semakin menghampiri tahap yang ditetapkan, malah hari ini mencatat jaringan.

"Walaupun tidak meraih banyak peluang beraksi ketika bersama Las Palmas, dia sentiasa berusaha keras di sini untuk menyesuaikan diri dengan cepat."