Pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone, berniat untuk mengerah keringat anak buahnya memasuki peringkat terakhir musim ini dalam LaLiga dan Liga Juara-Juara Eropah.

Atletico mendahului suku akhir pertama Liga Juara-Juara dengan keputusan 1-0 ke atas Leicester City, Rabu lalu.

Mereka kini turut menghuni kedudukan ketiga liga, 10 mata di belakang pendahulu, Real Madrid.

Simeone bakal bertarung dengan Sevilla dalam perebutan slot automatik ke Liga Juara-Juara dan pengendali itu akan menuntut segala-galanya daripada pemain di samping mengharapkan bantuan pemain ke-12.

"Kami memerlukan kerja keras setiap pemain. Kami akan mengerah keringat setiap seorang daripada mereka," Simeone memberitahu sidang media menjelang aksi berdepan Osasuna, hari ini.

"Apa yang saya boleh katakan, perlawanan ini sangat penting, bagi saya ini adalah perlawanan final.

"Kami telah berdepan Madrid, sebelum mengatasi Leicester City empat hari kemudian. Kini kami akan berdepan Osasuna sebelum bertandang ke England.

"Ini adalah hari di mana kami memerlukan sokongan peminat. Kami juga berharap mereka akan mengekori kami sehingga ke England."

Sementara itu, Simeone mendapat berita gembira apabila pemain tengah, Tiago, kini disahkan sudah kembali selepas empat bulan diketepikan ekoran kecederaan sementara Nicolas Gaitan turut dijangka kembali.