Pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone, tidak risau dengan sebarang kesan negatif selepas
pasukannya sekadar mencatat kemenangan tipis 1-0 menewaskan Eibar dalam aksi LaLiga, awal
pagi tadi.


Di awal permainan, Atletico tampak akan menundukkan lawan dengan jaringan besar apabila
anak-anak buah Simeone melakukan serangan demi serangan sebelum Kevin Gameiro menyumbat
gol tunggal perlawanan pada minit ke-27.

Atletico bernasib baik kerana kerana jentera serangan Eibar buntu dalam menyempurnakan setiap
peluang terhidang walaupun menguasai hampir keseluruhan perlawanan, namun Simeone tidak
risau dengan situasi itu sambil menegaskan ia adalah taktikal pasukan.

"Ia melibatkan sedikit kelebihan dalam aksi sebegini, menentang pasukan yang sangat sukar," kata
Simeone.

"Lawan mula dapat mengatur gerakan dan kami memilih untuk bertahan, menunggu peluang yang
sesuai untuk melakukan serangan balas seperti yang dilakukan oleh Antoine Griezmann. Sudah
tentu apabila kedudukan 1-0, segala perkara boleh berlaku.

"Eibar menampilkan aksi yang lebih bagus dalam babak kedua. Mereka mempunyai keinginan untuk
mengikat kedudukan dan memberikan ancaman besar buat kami," tambahnya.

Dalam masa sama, Simeone berharap agar Gameiro meneruskan prestasi terbaiknya bersama
Atletico selepas mengharungi permulaan musim yang agak sukar.

"Saya mengharapkannya kerana dia adalah seorang pemain yang penting. Kelajuannya di dalam
kawasan lawan amat ditagih.

"Pemain-pemain menunjukkan kepentingan persaingan dalam merebut tempat. Apa yang penting
adalah kualiti yang mereka tampilkan," katanya.