David Silva akan berlatih dengan pasukan divisyen ketiga Sepanyol, Navalcarnero, bagi menghadapi Piala Dunia Russia, bulan depan.

Pemain berusia 32 tahun itu terlepas beberapa perlawanan Liga Perdana Inggeris apabila terpaksa pulang ke Sepanyol untuk bersama anaknya yang dilahirkan pramatang.

Dan dalam usaha untuk meningkatkan kecergasannya bagi aksi pembukaan Piala Dunia menentang Portugal pada 16 Jun ini, jurulatih Sepanyol, Julen Lopetegui, mengatur latihan untuk Silva dengan kelab yang dikendalikan oleh rakannya, Julian Calero.

Pemain Navalcarnero, Joaquin Cerda, memberitahu AS: "Kamu boleh bayangkan betapa gembiranya kami. Kami gembira kerana ia merupakan satu ganjaran bagi musim ini.

"Lopetegui memerlukan pemain-pemain yang sepadan dengannya, seperti kami, dan dia mahu Silva bersama barisan pemain untuk berada di tahap tertentu. Kami bermain dengan intensiti yang tinggi dan ini akan membantunya."

Lopetegui akan mengumumkna senarai 23 pemainnya untuk Piala Dunia pada Selasa ini, dengan Silva yang sudah membuat 119 penampilan pasti akan menyertainya.