Kevin-Prince Boateng mengesahkan perpindahan mengejutnya dari Sassuolo ke Barcelona semakin dekat dengan menyifatkan langkah ke Camp Nou sebagai "peluang yang besar".

Pengurus Barca, Ernesto Valverde, bercadang untuk mengukuhkan jentera serangannya bulan ini, khususnya selepas Paco Alcacer berhijrah ke Borussia Dortmund dalam jendela perpindahan sebelum ini manakala Munir El Haddadi pula baru menyertai Sevilla.

Bagaimanapun, tidak ramai yang menduga bekas pemain antarabangsa Ghana itu -- yang pernah mewakili Tottenham, Borussia Dortmund, AC Milan dan Schalke -- akan dipancing dan dilaporkan akan menyertai Barca secara pinjaman dengan pilihan pembelian bernilai €8 juta (RM37.4j).

Boateng, 31, dilabel gagal memenuhi potensinya selepas mencuri perhatian sebagai pemain remaja di Hertha Berlin tetapi dia kini di ambang perpindahan terbesar dalam kariernya dan hampir sukar untuk dipercayainya.

Bercakap kepada Sky Sport Italia, Boateng berkata: "Hari ini agak menyedihkan kerana saya akan meninggalkan kumpulan pemain yang hebat di kelab seperti Sassuolo ini yang banyak memberikan saya peluang.

"Perpindahan ke Barcelona merupakan satu peluang yang besar dan emosi yang saya alami kali ini adalah unik. Saya sangat tertekan hari ini (malam tadi) tetapi saya amat menghormati Sassuolo."

Dengan spekulasi Boateng ke Barca mencetuskan kehangatan media, namun tingkah lakunya pada masa lampau dipersoalkan.

Dalam satu wawancara pada 2017, Boateng pernah menganggap dirinya sebagai peminat Real Madrid sejak kanak-kanak lagi, namun dia menafikannya sebelum melengkapkan perpindahan ke Barca dan teruja untuk merobek gawang Los Blancos dalam pertemuan 'El Clasico' pada 2 Mac depan.

"Ia perkara yang sudah berlalu, kini saya memikirkan tentang Barca," katanya. "Saya berharap dapat menjaringkan gol dalam pertemuan 'EL Clasico' di Santiago Bernabeu."