Pengendali kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, menyifatkan keputusan seri tanpa jaringan berdepan Filipina dalam aksi persahabatan antarabangsa malam tadi sebagai satu keputusan positif.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia merekodkan seri kali kelima berturut-turut berdepan Filipina dalam aksi persahabatan antarabangsa di sebalik hakikat bahawa 10 tahun sudah berlalu sejak kemenangan terakhir pasukan kebangsaan ke atas lawan itu dalam kempen Piala Suzuki 2007.

Kim Swee mengakui anak buahnya hanya beraksi lebih baik dalam babak kedua dalam pada Harimau Malaysia tercari-cari kemenangan dalam aksi pembukaan antarabangsa pada 2017 ini.

"Ada dua babak yang berbeza, babak pertama jadi milik Filipina tetapi dalam babak kedua, kami mula bangkit. Kami juga mahu menang tetapi Filipina sudah mempamerkan peningkatan yang baik.

"Berdasarkan ranking, kedudukan mereka juga jauh lebih baik (Filipina 124, Malaysia 161) tetapi untuk mendapat mata di tempat lawan sudah boleh dianggap sebagai satu keputusan baik," jelas Kim Swee.

Dalam pada itu, pengendali Filipina, Thomas Dooley, berkata dia kecewa gagal menamatkan badi keputusan seri dengan Malaysia.

Namun, Dooley berasa pasukannya beraksi lebih baik berbanding pertemuan terakhir dengan Malaysia pada 2014 di Cebu.

"Setiap pasukan mempamerkan peningkatan. Dalam babak pertama, kami mencipta banyak peluang berbanding pertemuan sebelum ini," kata Dooley.