Skuad bola sepak bawah 19 tahun negara pulang ke tanah air bersama piala buat kali pertama hari ini berbekalkan senyuman susulan kejayaan menundukkan Myanmar dalam final Kejohanan AFF B-19 di Surabaya, semalam.

Keterujaan jelas tergambar pada wajah barisan kendalian Bojan Hodak itu sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selaku juara Kejohanan AFF selepas lima kali gagal dalam percubaan terdahulu.

Ternyata kelibat pemain-pemain seperti Hadi Fayyadh Abdul Razak dan Muhammad Azri Ghani mampu menyerlahkan kejayaan buat skuad kebangsaan selepas kali terakhir dilakukan oleh pasukan bimbingan Datuk Ong Kim Swee sewaktu meraih pingat emas Sukan SEA 2011.

"Alhamdulillah, ini kali pertama saya disambut sebegini susulan kejayaan yang pertama di peringkat antarabangsa. Saya cukup bersyukur," kata Hadi.

"Pengalaman manis adalah apabila saya dapat mencipta nama ketika penentuan sepakan penalti dalam aksi separuh akhir bertemu Indonesia," tambahnya.

"Anda tidak boleh terlalu berharap apabila Malaysia berada dalam kelompok bawahan sebelum ini tetapi kini kami layak ke saingan dan memenangi Kejohanan AFF, jadi saya percaya pemain-pemain semakin yakin," ujar Hodak.