Penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin, mahu segera melupakan kekecewaan dalam kempen Kejohanan AFF B-18 Tahun 2019 di Vietnam yang menyaksikan Malaysia muncul sebagai naib juara.

Kegagalan menjulang pasukan negara muncul juara amat dikesali pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus bekerja keras mengharumkan nama Malaysia di pentas tertinggi pada masa depan.

Luqman mengakui dia tidak berpuas hati dengan sekadar menduduki tempat kedua dalam kejohanan itu.

“Semangat saya masih membara. Sebagai pemain kebangsaan, kami perlu sentiasa ada semangat untuk menyumbang sesuatu kepada pasukan.

“Mengenai prestasi saya, rasanya ia tidak memuaskan kerana saya tidak dapat membantu pasukan muncul juara. Setiap pemain dalam pasukan ini ada sifat ingin menang, jadi saya ada rasa sedikit tidak berpuas hati,” katanya.

Dalam aksi final di Stadium Thong Nhat, Bandaraya Ho Chi Minh, Isnin lalu, Malaysia tewas 0-1 di tangan Australia hasil jaringan tunggal Lachlan Ricky Brook pada minit ke-79, sekali gus menyaksikan skuad kendalian Brad Maloney itu gagal mempertahankan kejuaraan yang diraih edisi lalu.

Bagaimanapun, Luqman yang menjaringkan empat gol sepanjang kempen itu mula menjadi perhatian seluruh peminat bola sepak tempatan, terutama susulan prestasi cemerlang apabila meledak dua gol ketika menundukkan Australia 3-0 dalam saingan peringkat kumpulan.

Dia berkata fokus utamanya adalah membawa Malaysia layak ke Kejohanan B-19 AFC 2020 seterusnya Piala Dunia B-20 2021 selain meningkatkan prestasi diri.

“Pujian itu semua saya mahu letak tepi dulu… saya nak fokus. Dengan pujian ini semua, bukan kita boleh buat apa-apa pun, jadi saya mahu terus pandang ke hadapan.

“Saya mahu pasukan layak ke Kejohanan AFC dan misi paling utama, saya nak bantu Malaysia ke Piala Dunia,” jelas produk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) itu.

Skuad B-18 kebangsaan selepas ini akan menyertai pusingan Kelayakan Kejuaraan AFC B-19 2020 di Kemboja dari 2 November hingga 10 November depan.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan G akan berentap bersama-sama Thailand, Brunei, Kepulauan Mariana Utara dan pasukan tuan rumah, Kemboja.

-- BERNAMA