"Kami memang tekad mahu tebus kekalahan awal dalam Piala FA," itu pengakuan kapten dan pertahanan Selangor, Razman Roslan selepas kejayaan Selangor menewaskan Felda United 3-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Selayang, Jumaat lalu.

Razman mengakui, dia dan rakan sepasukan kecewa selepas kekalahan kepada Negeri Sembilan dalam aksi pusingan kedua Piala FA, Selasa lalu.

Kerana itu, katanya, Selangor bertekad memburu tiga mata berdepan Felda

"Bagi saya, selepas kami terkeluar awal dalam Piala FA, pemain-pemain sedar tanggungjawab untuk perlawanan ini.

"Kami sedar, selepas kalah kami perlu bangkit secepat yang mungkin dan pemain-pemain telah memberikan komitmen 100 peratus dan hasilnya kami berjaya mendapat tiga mata pada malam ini."

Selangor membuka tirai jaringan menerusi Victoras Astafei pada minit ke-30, sebelum Raimi Mohd Noor meraih gol kedua.

Selepas itu, Rizal Fahmi Rosid kemudian menyempurnakan gol ketiga minit ke-45, disusuli jaringan saguhati Felda, enam minit sebelum tamat perlawanan.

Dalam pada itu, pertahanan kanan Selangor, Syameer Safari, berkata dia semakin serasi beraksi dalam pasukan.

Bekas pemain Harimau Muda itu adalah pemain termuda Selangor musim ini tetapi diturunkan jurulatih Selangor, P. Maniam, dalam setiap perlawanan setakat ini.

"Selepas enam perlawanan ini, saya mendapat lebih keyakinan, kerana sudah boleh menyesuaikan diri," katanya.

"Bermain dengan pemain yang lebih berpengalaman dan berkualiti, ia boleh mendatangkan keyakinan kepada diri saya."