SELANGOR 2 P. PINANG 0

Selangor mengetepikan isu di luar padang dengan mencatatkan kemenangan 2-0 dalam saingan Liga Super ke atas Pulau Pinang, malam ini.


Dalam aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang itu, gol anak buah P. Maniam terhasil pada separuh masa pertama.

Adam Nor Azlin terlebih dahulu mencetak namanya selaku penjaring apabila tenang menyudahkan lantunan dalam keadaan kelam-kabut di hadapan pintu gol Pulau Pinang untuk gol pertama perlawanan.

Terdahulu, penjaga gol pelawat, Syed Adney Syed Hussein, beberapa kali bertindak cemerlang untuk mematahkan asakan-asakan Selangor.

Pulau Pinang yang turut dibarisi pemenang Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016, Mohd Faiz Subri, mencipta beberapa percubaan menarik dan hampir merobek gawang lawan menerusi sepakan percumanya.

Namun, Pulau Pinang sekali lagi tersentak apabila Selangor melebarkan penguasaan mereka menerusi gol Francis Forkey Doe di hujung babak pertama.

Kedua-dua pasukan memiliki peluang seimbang dalam separuh masa kedua, namun gagal menambah bilangan jaringan untuk kedudukan kekal 2-0 sehingga tamat permainan.

Di Stadium Tun Abd Razak, Jengka, Felda United terpaksa menunggu sehingga minit ke-68 untuk meraih tiga mata menerusi jaringan tunggal Nor Shahrul Idlan Talaha.


Keputusan lain:

FELDA UNITED 1 PKNS FC 0

PERAK 1 PAHANG 1

T-TEAM 1 SARAWAK 1