Antonio Conte menasihatkan pemain muda Chelsea agar mempamerkan aksi terbaik mereka dalam usaha untuk menyertai kesebelasan utama, dengan berkata: "Jika kamu cukup baik untuk bermain dengan pasukan yang hebat, kamu akan bermain."

Bercakap sebelum perlawanan menentang Nottingham Forest dalam Piala EFL awal pagi nanti, Conte yang mempertahankan pendekatan kelab dalam mengembangkan bakat muda, menegaskan umur bukanlah penghalang untuk beraksi di Stamford Bridge.

Conte ditanya sama ada pertembungan dengan Forest bakal membuka peluang kepada pemain pertahanan berusia 17 tahun, Ethan Ampadu, untuk menjadi sebahagian daripada skuad utama.

"Ya," jawab Conte. "Ampadu adalah pemain muda tetapi saya fikir dia mempunyai kualiti yang baik. Dia adalah prospek yang baik untuk menjadi pemain Chelsea.

"Jika kamu cukup baik bermain dengan pasukan yang hebat, kamu bermain. Setiap jurulatih mahu menang.

"Jika seorang pemain lama, berusia 36 tahun, membuatkan saya gembira dan membantu saya untuk menang, saya memilih dia. Ia sama jika seorang pemain muda berusia 16 tahun membantu saya menang, saya juga sedia melakukan perkara sama."

Conte menolak dakwaan bahawa peluang beraksi dalam pasukan utama terhad yang membuatkan Nathaniel Chalobah, yang menyertai Watford pada Julai lalu selepas membuat 10 penampilan Liga Perdana dalam tempoh tujuh tahun di Chelsea, keluar dari kelab itu.

Dia mengangkat pemain pertahanan berusia 21 tahun, Andreas Christensen, yang telah membuat empat penampilan pada musim ini, sebagai contoh buat pemain muda lain.

"Chalobah berpeluang bermain," kata Conte. "Jangan lupa musim lalu kami memenangi liga, jangan lupa musim lalu pemain tengah kami adalah (Nemanja) Matic, (N'Golo) Kante dan (Cesc) Fabregas. Chalobah adalah pemain tengah keempat.

"Jika kamu minta untuk bermain dengan kelab yang hebat, maka kamu harus layak bermain. Jika kamu menunjukkan kamu layak bermain dan boleh menjadi lebih baik daripada pemain ini, saya sedia melakukannya.

"Kami mempunyai contoh yang jelas dengan Christensen. Christensen dipinjamkan ke Borussia Moenchengladbach dan sekarang dia berada dalam skuad kami.

"Jangan lupa bahawa penampilan pertama saya dalam Serie A adalah ketika saya berumur 16 tahun. Saya fikir saya adalah orang pertama yang mempercayai pemain muda, untuk memberi peluang kepada mereka, jika pemain muda berhak mendapatkannya."

Jurulatih kelahiran Itali itu memberi amaran agar pemainnya tidak dibuai rasa selesa menentang Forest, yang telah memenangi tiga daripada lima perlawanan mereka pada musim ini.

"Kami mahu melakukan yang terbaik dalam setiap pertandingan tetapi ia tidak mudah," tambah Conte.

"Kadang-kadang anda mempunyai peluang untuk memberi peluang kepada beberapa pemain yang pada masa ini tidak banyak beraksi tetapi pertandingan di England sangat sukar.

"Adalah perkara biasa mengambil risiko. Forest menewaskan Newcastle pada pusingan sebelum ini, jadi kami perlu memberi perhatian yang besar."