Dejan Lovren menuntut pengiktirafan terhadap bakatnya selepas membantu Croatia menyingkirkan England dalam separuh akhir Piala Dunia 2018 dengan menggambarkan dirinya sebagai "salah seorang pertahanan terbaik di dunia".

Pertahanan tengah Liverpool itu memainkan peranan penting untuk merantai penggempur England, Harry Kane, di Stadium Luzhniki ketika pasukan kendalian Zlatko Dalic itu bangkit daripada ketinggalan seawal minit kelima menerusi sepakan percuma Kieran Trippier untuk menang 2-1 dalam masa tambahan.

Dengan slot final Piala Dunia sudah terjamin sambil dia turut membantu Liverpool mencapai perlawanan akhir Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu di sebalik kritikan terhadap kelemahan benteng mereka, Lovren berasakan dia telah membuktikan kualitinya sebagai pemain.

"Saya mendengar orang mengatakan bahawa saya mempunyai musim yang sukar tetapi saya tidak bersetuju," kata pemain berusia 29 tahun tersebut kepada SPORTS BeIN.

"Saya membawa Liverpool ke final UCL dan kini bersama pasukan kebangsaan saya dalam final (Piala Dunia).

"Saya fikir orang harus menyedari bahawa saya merupakan salah seorang pertahanan terbaik di dunia dan bukan hanya bercakap perkara yang tidak masuk akal."

Lovren turut beranggapan rakan sepasukan Croatia, Luka Modric, layak untuk meraih anugerah individu tertinggi dalam bola sepak dunia, Ballon d'Or.

Bintang Real Madrid berkenaan mengetuai Croatia untuk mara ke final Piala Dunia buat julung kalinya dengan mengatasi prestasi terbaik negaranya sebelum ini dalam edisi 1998 yang menyaksikan mereka menduduki tempat ketiga.

Lovren berkata: "Ini adalah sesuatu yang tidak akan kami lupakan, orang ramai menangis, mereka gembira di tanah air kami.

"Separuh masa pertama adalah sukar, kami tidak dapat mengawal bola dan mereka mempunyai beberapa peluang tetapi pada babak kedua, kami beraksi dengan lebih baik. Pada masa tambahan, kami menunjukkan bahawa kami masih dapat bertahan dengan keletihan.

"Modric bukanlah salah seorang yang terbaik, (dia) pemain tengah terbaik di dunia dan sekiranya kami memenangi Piala Dunia, dia berhak untuk Ballon d'Or."