Penyerang muda negara, Jafri Firdaus Chew, kecewa dengan kegagalan menghadirkan jaringan di pentas Kejohanan AFF B-22 sambil mengakui saingan lebih sengit untuk merebut tempat menjelang kelayakan Kejohanan AFC B-23, Mac depan.

Ternyata ia bukan aksi terbaik ditampilkan Jafri dalam saingan kali ini walaupun komitmen dan kesungguhan seluruh pasukan diberi pujian oleh pengendali, Datuk Ong Kim Swee.

Malah, pemain PKNS FC itu harus bersedia untuk berusaha lebih gigih bagi terus menambat hati jurulatih dengan kehadiran dua penyerang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Akhyar Rashid dan Safawi Rasid, yang pastinya ditagih untuk saingan bulan depan.

"Saya rasa sentuhan jaringan saya telah hilang. Untuk dapatkannya semula mungkin memerlukan masa kerana saya juga jarang beraksi bersama kelab dan dalam pasukan negara, baru beraksi tiga perlawanan. Mungkin belum rezeki mendapatkan gol," katanya.

Sementara itu, kapten negara, Dominic Tan, yang berdepan kecederaan pangkal paha kanan dalam aksi terakhir menentang Myanmar semalam perlu memanfaatkan tempoh masa yang ada untuk kembali cergas apabila dijangka bakal melalui proses pemulihan sekurang-kurangnya seminggu.

Skuad negara tiba di tanah air hari ini dari Kemboja setelah menamatkan saingan kali ini di kedudukan ketiga Kumpulan B.

"Setakat ini, ia hanya ketegangan otot dan diharapkan ia segera pulih. Memang sakit dan saya tidak mahu kecederaan ini jadi lebih teruk," ujar Dominic.