Kelincahan pemain remaja sensasi, Kylian Mbappe, mengundang kegusaran pemenang Piala Dunia dan legenda sepanjang zaman, Pele, terhadap pelbagai rekodnya.

Mbappe menjaringkan gol dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2018 ketika Perancis membenam Croatia awal pagi tadi untuk muncul sebagai pemain termuda kedua selepas Pele yang menjaringkan gol di pentas akhir.

Bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu juga merupakan pemain termuda keempat untuk memenangi hadiah yang paling berprestij berkenaan sementara hanya Pele yang mempunyai koleksi gol terbanyak dalam pusingan akhir sebelum mencecah usia 20 tahun.

Ikon Brazil, juara edisi 1958, 1962 dan 1970 itu tampak bimbang dengan kemajuan Mbappe sambil mengucapkan tahniah kepada pemain Perancis tersebut.

"Sekiranya Kylian terus menyamai rekod saya seperti ini, saya mungkin perlu mengilatkan semula but saya," kata Pele di Twitter, merujuk kepada gambar Mbappe menjulang trofi Piala Dunia.

Pele, seperti Mbappe, memenangi anugerah Pemain Muda Terbaik dalam kemunculan sulungnya pada 1958.