"Saya ingin mengatasi pencapaian ayah."

Demikian impian pemain tengah skuad B-19 negara, Firdaus Khaironnisam, yang mahu mengikuti jejak langkah bapanya, Khaironnisam Shahabudin, mewakili pasukan senior negara untuk meraih pencapaian yang lebih hebat.


Siapa yang tidak kenal dengan bekas pertahanan kental negara, Khaironnisam, atau lebih dikenali sebagai Botak.

Dia pernah meraih pencapaian hebat sepanjang kariernya bersama Harimau Malaya dengan antaranya memenangi pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2001.

Kini, anak lelakinya, Firdaus, bukan sahaja mahu menyambung legasi bapanya tetapi mahu menandingi pencapaian idolanya itu.

"Kalau boleh, saya mahu melakukan yang lebih bagus daripada apa yang ayah saya buat dulu.

"Ayah pernah menasihatkan saya untuk menjadi lebih bagus daripada dia andai saya bercita-cita untuk menjadi pemain bola sepak," katanya.

Firdaus disenaraikan ketua jurulatih negara, Bojan Hodak, dalam tiga daripada enam perlawanan sebagai kesebelasan utama.

Dia turut bertanggungjawab menjaringkan gol kemenangan skuad negara di peringkat suku akhir Piala Global Arena.

"Saya bersyukur kerana anak saya dapat menyertai skuad B-19 negara.

"Saya berdoa semoga satu hari nanti, dia akan dapat mewakili skuad senior negara.

"Semoga dia dapat mengharumkan nama negara dan menjadi pemain terbaik," kata Khaironnisam.