Bekas pemain Real Madrid, Guti, mendedahkan dia mahu Barcelona melakar kebangkitan dengan menyingkirkan Paris Saint-Germain (PSG) dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL).

Skuad kendalian Luis Enrique selangkah lebih hampir untuk tersingkir daripada UCL selepas tewas 4-0 dalam aksi pertama pusingan kalah mati di Parc des Princes.

Perlawanan timbal balik di Nou Camp ialah pada 8 Mac nanti.

Guti, yang telah memenangi lima kejuaraan LaLiga dan tiga gelaran UCL, berharap Barca mampu mencipta kejutan.

Bekas pemain kebangsaan Sepanyol dan jurulatih pasukan belia Madrid itu mahu menyaksikan Gerard Pique untuk mempamerkan kualitinya.

"Saya mahu Barcelona bangkit ketika berdepan PSG. Dengan cara itu, mereka tidak akan dapat memberikan tumpuan terhadap saingan LaLiga," kata Guti.

"Saya harap Pique akan menjaringkan gol kelima kerana dia berhak menerimanya. Dia adalah satu-satunya yang berdepan kritikan mengenai pertahanan Barca yang hambar."

Madrid di dalam kedudukan yang selesa untuk mara ke suku akhir UCL selepas meraih kemenangan 3-1 ke atas Napoli dalam aksi pertama.