Legenda Brazil, Pele, merakamkan sanjungan tertinggi buat penjaga gol juara Piala Dunia, England, Gordon Banks, berikutan kematiannya semalam sambil menyifatkannya satu keajaiban di atas ketangkasannya yang rata-rata dianggap “aksi menyelamat terbaik abad ini”.

Keluarga Banks mengeluarkan kenyataan menerusi bekas kelabnya, Stoke City, semalam sebagai mengesahkan kematian legenda England berusia 81 tahun itu.

Dia membuat 73 penampilan untuk skuad negaranya di samping sentiasa menjadi pilihan ketika skuad bimbingan Alf Ramsey itu menjulang Piala Dunia di halaman sendiri pada 1966.

Banks, rata-rata dijulang selaku antara penjaga gol terhebat sepanjang zaman, menghasilkan detik menyelamat paling diingati empat tahun kemudian, dengan tangkas menepis satu tandukan Pele di Bandaraya Mexico.

Detik itu adalah pemangkin kepada satu persahabatan panjang hingga mendorong Pele menukilkan satu sanjungan penuh beremosi semalam.

Satu hantaran di laman Facebook rasminya mengungkapkan: “Kepada ramai orang, memori mereka terhadap Gordon Banks diperingati daripada ketangkasannya berdepan saya pada 1970. Saya memahami mengapa.

“Aksi menyelamatnya itu adalah salah satu yang terbaik pernah saya lihat – sama ada yang saya alami sendiri atau ribuan perlawanan yang saya tonton sejak itu.

"Apabila anda seorang pemain bola sepak, anda serta-merta tahu betapa bagusnya anda menghayun bola. Saya melakukan tandukan itu betul-betul seperti saya harap untuk menanduknya. Betul-betul di mana saya mahu ia ditujukan. Dan saya sudah bersedia untuk meraikannya (jaringan).

"Tapi jejaka ini, Banks, muncul dalam penglihatan saya, seperti satu jelmaan, itulah cara saya menceritakan dia.

“Dia muncul entah dari mana dan dia melakukan sesuatu yang tidak masuk akal. Dia menolak keluar bola tandukan saya dan saya tidak dapat mempercayai apa yang saya lihat.

“Ketika saya menontonnya semula sekarang pun, saya tidak dapat mempercayainya. Saya tidak percaya bagaimana dia berganjak begitu jauh dan begitu pantas.

“Saya telah menjaringkan banyak gol dalam hayat saya tapi ramai orang, apabila mereka menemui saya, sentiasa bertanyakan tentang tandukan saya yang diselamatkan itu.

“Sambil ia kekal satu fenomena, ingatan saya terhadap Gordon tidak ditakrifkan oleh detik itu, sebaliknya diperincikan oleh persahabatannya. Dia seorang yang baik dan sangat mesra, yang telah memberikan terlalu banyak kepada orang ramai.

" Jadi, saya gembira dia menyelamatkan tandukan saya itu kerana ia memulakan persahabatan kami yang akan sentiasa saya hargai. Setiap kali bertemunya, ia seolah-olah kami tidak pernah berpisah.

"Saya berasa teramat-amat sedih dan ucapan takziah saya kepada keluarganya,” tulis Pele.