Pengendali Felda United, B. Sathianathan, mengharapkan pasukannya bersedia menghadapi perlawanan berdepan Hanoi FC bagi saingan Piala AFC di Stadium Shah Alam, malam esok.

Bagi Sathianathan, beliau melihat faktor pengalaman menjadi medan pemisah buat Felda yang sedikit gementar dalam aksi pertama Piala AFC bertemu Tampines Rovers.

Justeru, beliau berharap pemainnya kali ini lebih bersedia berdepan Hanoi FC kerana mereka tidak boleh keciciran sebarang mata jika mahu melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

“Saya mahu menurunkan pemain-pemain yang sama, namun masalah kecederaan menimpa pasukan dan saya berharap mereka yang akan diberikan peluang beraksi akan memberikan yang terbaik buat pasukan,” jelas Sathia.

Pengendali Hanoi FC, Chu Dinh Nghiem, mengakui mereka tidak dapat membawa skuad terbaik ekoran beberapa pemain utama dilanda kecederaan.

Antara pemain utama yang tidak dapat dibawa ialah pemain pertahanan dari Filipina, Alvaro Silva Linares, dan penyerang, Hoang Vu Samson.

Dalam masa sama, katanya, kelibat pemain Felda seperti Hadin Azman dan Zah Rahan Krangar adalah antara yang perlu diawasi oleh pemainnya.

“Secara jujurnya,saya belum pernah menyaksikan gaya permainan Felda dan terpaksa melakukan kajian melalui internet serta apa sahaja sumber yang saya ada.

"Berdasarkan apa yang saya dapati, mereka memiliki beberapa pemain yang cukup bahaya serta perlu diawasi kerana mampu menggugat pertahanan kami,” kata Dinh Nghiem.