Skuad Sarawak akan bertandang ke Australia pada Jumaat ini dengan tiga misi – mencari pengalaman, membina keserasian dan memburu seorang lagi pemain import baharu.

Itu agenda utama skuad Bujang Senang pimpinan David Usop dalam usaha mempersiap pasukan bagi menghadapi cabaran musim baharu Liga Super 2017, yang akan membuka tirai 20 Januari depan.

“Tetapi yang penting adalah untuk menyediakan perlawanan kompetitif kepada skuad baharu ini, yang lebih separuh daripadanya adalah muka baharu,” kata David ketika ditemui petang tadi.

Skuad Sarawak 2017 hanya mengekalkan tiga pemain luar daripada negeri itu, iaitu Ronny Harun, Ramesh Lai Ban Huat dan penjaga gawang, Shahril Saari, selain pemain import tunggal, Teah Dennis.

Ini berikutan keputusan pentadbiran baharu Persatuan Bolasepak Sarawak untuk menyerapkan sebanyak mungkin pemain tempatan dalam pasukan baharu ini.

Berikutan keputusan itu, lima pemain daripada Piala Presiden telah dibawa masuk selain tiga pemain yang beraksi untuk Liga Bolasepak Rakyat.

“Secara puratanya, pasukan ini dibarisi oleh pemain yang berusia sekitar 24 ke 25 tahun,” katanya lagi.

Turut serta dalam rombongan itu ialah dua pemain import yang hampir pasti berada dalam senarai pasukan tersebut, iaitu Mark Andrew Hartman dari Filipina dan Lee Jong Ho dari Korea.

Kedua-dua pemain ini sedang dalam proses melengkapkan proses perpindahan mereka sebelum menandatangani kontrak dengan skuad Bumi Kenyalang ini.

Jelas David, pasukan Sarawak akan berada di negara kanggaru itu selama 10 hari sehingga sambutan Krismas.

“Kami dijadualkan mengharungi tiga perlawanan persahabatan, iaitu menentang Floreat Athena pada 18 Disember, Bayswater City pada 20 Disember dan Perth SC pada 22 Disember.

Bagaimanapun, katanya, dua pemain, iaitu Dzulazlan Ibrahim dan Shreen Tambi tidak akan berada dalam senarai rombongan kerana telah mendapat pelepasan untuk melangsungkan perkahwinan bulan ini.

Meskipun dalam keadaan kapal tanpa nakhoda, pasukan Sarawak dijangka tidak berhadapan masalah untuk membentuk pasukan kali ini kerana masih mendapat kerjasama penuh pasukan pengurusan.