PORTUGAL 0 BELANDA 3

Jurulatih Portugal, Fernando Santos, berkata kekalahan 3-0 pasukan di tangan Belanda di Switzerland, awal pagi tadi, adalah tanggungjawabnya apabila persiapan Piala Dunia mereka terjejas.


Juara Eropah itu ditenggelami Belanda untuk membolehkan Ronald Koeman meraih kemenangan pertama sejak menjadi jurulatih skuad Oranje pada Februari lalu.

Belanda gagal melayakkan diri ke Piala Dunia di Russia tetapi mereka terlalu berbisa untuk Portugal, yang kehilangan Joao Cancelo akibat layangan kad merah dalam babak kedua, susulan jaringan daripada Memphis Depay, Ryan Babel dan Virgil van Dijk.

Mengulas mengenai kekalahan dalam aksi persahabatan itu, Santos memberitahu pemberita: "Saya boleh melakukan lebih baik tetapi tanggungjawab untuk kekalahan ini adalah milik saya.

"Ia kerana saya yang memilih pemain, memerhatikan lawan, menetapkan strategi dan saya fikir dalam 10 minit awal, kami mengawal bola dengan baik.

"Kami dibolosi dan dari situ ada sesuatu yang sukar. Mereka menggunakan ruang dengan baik dan kami mengalami banyak kesulitan dalam babak pertama.

"Keseluruhan aksi kami tidak mencukupi dan kami tidak dapat melakukan serangan balas. Kami berbincang dengan pemain pada masa rehat dan dalam babak kedua, kami adalah pasukan yang berbeza dalam segala aspek.

"Kami tidak memberikan ruang kepada lawan kecuali pada hujungnya. Dengan 10 pemain di atas padang, kami mengalami sedikit kesukaran tetapi kami terus berusaha mencari gol dan kami mempunyai tiga atau empat peluang."

Sementara itu, bos Belanda, Koeman menambah: "Kami memulakan projek kami minggu lalu. Kami memutuskan untuk bermain dengan sistem yang sama sekali berbeza dengan apa yang kami gunakan selama bertahun-tahun.

"Pasukan ini bermain dengan sangat baik dan tidak memberikan ruang. Portugal mempunyai banyak masalah mencari ruang. Perbezaan di antara perlawanan hari ini dan pada Sabtu lalu (kalah 1-0 kepada England) ialah kami lebih selesa dan menjaringkan gol dengan pantas.

"Pasukan ini lebih yakin dan banyak menyesuaikan diri dengan sistem baru. Hasilnya, ia menjadikannya lebih mudah."