Ketua Eksekutif Ajax, Edwin Van Der Sar, percaya langkah terbaik buat pemain pertahanan, Davinson Sanchez, adalah kekal bersama pasukannya berbanding berhijrah ke pasukan lain.

Sanchez melengkapkan perpindahannya ke Tottenham Hotspur dengan nilai awal EUR40 juta (RM201 juta), sekaligus muncul pembelian termahal Spurs dalam sejarah.

Bagaimanapun, dia bakal bergelut dengan masalah kurang beraksi selepas Spurs, yang ditunjangi oleh Toby Alderweireld dan Jan Vertonghen, muncul sebagai pasukan dengan pertahanan terbaik dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lepas.

“Bagi saya, tempoh satu tahun adalah terlalu singkat buat Sanchez untuk meninggalkan pasukan. Dia seharusnya kekal untuk sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun.

“Tetapi, dengan kekuatan kewangan yang dimiliki liga-liga besar, ia agak sukar untuk menghalang sesebuah pasukan daripada melengkapkan proses perpindahan,” katanya.

Ajax turut kehilangan Davy Klaassen dan Jairo Riedewald yang berhijrah ke Everton dan Crystal Palace, namun Van Der Sar menolak untuk mencari pengganti.

“Saya rela untuk kekal dengan pasukan yang saya miliki sekarang.”