HAMBURG 1 BAYERN MUNICH 4

Pengarah Sukan Bayern Munich, Hasan Salihamidzic, dan ketua jurulatih, Niko Kovac, bersedia membenarkan pemain tengah, Sebastian Rudy, meninggalkan kelab itu.


Rudy menyertai Bayern dari Hoffenheim secara perpindahan percuma tahun lalu dan beraksi sebanyak 25 kali dalam Bundesliga tetapi hanya 16 daripadanya adalah dalam kesebelasan utama.

Pemain antarabangsa Jerman itu dikaitkan dengan perpindahan, dengan RB Leipzig dan Schalke dikatakan menunjukkan minat yang mendalam.

Sementara itu, dengan Leipzig mengundur diri, kelibat Rudy dirakamkan sedang berbincang dengan pengurus Schalke, Domenico Tedesco, di Munich, tetapi Salihamidzic menafikannya manakala Pengarah Sukan Schalke, Christian Heidel, menyatakan tiada sebarang rundingan yang berlaku di sebalik desas-desus perpindahannya terus berlarutan.

"Tidak ada apa-apa, saya telah memberi kebenaran. Itulah sebabnya ia tidak menjadi masalah," kata Salihamidzic kepada Sport1 selepas kemenangan 4-1 ke atas Hamburg.

Kovac mengakui Rudy, 28, bersemangat untuk beraksi lebih kerap.

Dia menambah: "Sebastian telah bermain dengan kami selama setahun, kami akan melihat apa yang berlaku pada musim depan. Sudah tentu dia inginkan aksi yang lebih banyak tetapi kami mempunyai ramai pemain tengah."

Rudy mempunyai kontrak dengan Bayern sehingga tahun 2020.

Dalam aksi di Volksparkstadion awal pagi tadi, Sandro Wagner dan Thomas Muller, masing-masing meledak dua gol ketika Bayern Munich meneruskan persiapan mereka untuk menghadapi musim baru Bundesliga dengan kemenangan ke atas Hamburg itu.