MANCHESTER CITY 1 LIVERPOOL 2

Beraksi di tempat lawan tidak memberi masalah buat Liverpool untuk mengesahkan laluan ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah apabila menundukkan Manchester City 2-1 dalam aksi suku akhir kedua di Etihad, awal pagi tadi.


Skuad kendalian Jurgen Klopp itu menang 3-0 dalam aksi pertama di Anfield minggu lalu tetapi terpaksa mengharungi 90 minit yang mencabar di laman lawan.

Gabriel Jesus memberi amaran bahawa skuad kendalian Pep Guardiola itu tidak bercakap kosong untuk bangkit apabila membuka tirai jaringan buat tuan rumah ketika aksi baru berusia dua minit.

Larian deras Raheem Sterling dari sebelah kanan membuka ruang buat penyerang Brazil itu untuk melepaskan sepakan kaki kanan melepasi penjaga gol, Loris Karius.

Walaupun jaringan itu mencetuskan kontroversi kerana Sterling dilihat menolak Virgil Van Dijk, namun pengadil perlawanan, Mateu Lahoz, meneruskan aksi.

Kevin De Bruyne hampir menggandakan jaringan buat tuan rumah pada minit ke-26 tetapi percubaannya dari luar kotak penalti ditangkap kemas Karius.

Penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris, Mohamed Salah, yang kembali membarisi kesebelasan utama The Kop setelah terlepas aksi menentang Everton pada hujung minggu lalu, membuktikan statusnya sebagai nadi utama Liverpool apabila menyamakan kedudukan ketika separuh masa kedua bersambung 11 minit.

Kesilapan benteng tuan rumah yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya hasil serangan menerusi Sadio Mane, pantas digunakan oleh Salah untuk mengikat kedudukan di Etihad.

Roberto Firmino menamatkan sisa kebangkitan The Citizens di depan penyokong sendiri menerusi jaringan kaki kanan pada minit ke-77 untuk menjadikan kedudukan 2-1, membolehkan Klopp mengetuai anak buahnya ke separuh akhir bagi saingan 2017/18 hasil kemenangan 5-1 menerusi agregat.