Selepas aksi julung kali Liga Juara-Juara Selangor (SCL) All Stars dengan Liga Amatur Terengganu (TAL) All Stars berlangsung tahun lalu, wakil dari utara akan turut memeriahkan perebutan Piala Amatur Malaysia edisi 2018.

Menurut Pengarah Selangor Football, Izrin Nabil, pemenang di antara Penang Island League (PIL) All Stars dan TAL All Stars akan berentap dengan SCL All Stars dalam aksi final di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

Penyertaan PIL, ujarnya, membuktikan bola sepak amatur semakin meriah sambil berharap Piala Amatur Malaysia terus menjadi pentas untuk pemain muda menunjukkan bakat.

"SCL All Stars dibimbing Amir Shahir yang juga jurulatih Cheras Raptors dan sudah pun memulakan tugasnya minggu lalu.

"Kami akan beraksi habis-habisan untuk merampas kembali gelaran pasukan amatur terbaik di Malaysia," jelasnya.

Untuk rekod, TAL All Stars muncul juara edisi pertama selepas menang 2-0 hasil jaringan Muhammad Izzan Syahmi Mustapa yang kini bersama skuad B-21 negara.

"Semua pihak perlu terus berganding bahu dalam memartabatkan bola sepak amatur sejajar dengan penubuhan Liga M5," kata Ketua Pegawai Eksekutif TAL, Muhammad Zainudin Solahudin.

Turut diadakan pada Hari Bola Sepak Selangor itu ialah klinik bola sepak, perlawanan di antara selebriti yang menemukan Pilihan Selangor dan Dugong All Stars selain pelancaran jersi Selangor.