Kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim, memberi jaminan dia dan rakan sepasukan sedia mengerah segala kudrat bagi memastikan keputusan positif menentang Hong Kong dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Hang Jebat, Melaka, esok.

Bagi Safiq, setiap pemain yang bakal diturunkan sedar tanggungjawab mereka kerana barisan negara amat memerlukan kemenangan dalam saingan itu.

Selepas tewas 2-1 dalam aksi sulung kelayakan Kumpulan B berdepan Lubnan pada 13 Jun lalu, kekalahan kepada Hong Kong akan menyulitkan peluang skuad negara untuk ke pusingan akhir Piala Asia.

"Mana-mana pemain atau mana-mana pasukan mesti ada tekanan tersendiri. Sebagai pemain yang sudah biasa dengan situasi seperti ini harus mengambilnya sebagai cabaran.

"Maka, kami perlu fokus lebih dan memberikan yang terbaik sepanjang 90 minit permainan dan sehingga tamat perlawanan," katanya.

Perancang tengah ini juga percaya pemain kini lebih memahami falsafah dan pendekatan taktikal yang diterapkan jurulatih pasukan negara, Nelo Vingada.

Walaupun dua aksi persahabatan terakhir menentang Syria dan Myanmar berakhir dengan kekalahan, Safiq optimis barisan negara akan memberikan aksi lebih baik kali ini.

"Pemain sudah memahami apa yang diterapkan oleh jurulatih. Saya harap malam esok, kami dapat tingkatkan prestasi dan terjemahkan apa yang diajar oleh jurulatih," tambahnya.

Dalam perlawanan persahabatan, Malaysia tewas 1-0 kepada Myanmar pada 29 Ogos selepas kalah kepada Syria 2-1 pada 22 Ogos lalu.