Kapten skuad Harimau Malaya, Safiq Rahim, enggan mengulas panjang mengenai tahap pengadilan ketika perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia di antara Malaysia dan Hong Kong, kelmarin.

Dia juga tidak mahu menekankan isu kegagalan beberapa rakan sepasukan yang tidak dapat mengawal emosi, namun memuji aksi penjaga gol, Muhammad Hafizul Hakim, serta prestasi positif keseluruhan pasukan.

“Saya rasa mana-mana pemain akan menunjukkan reaksi sama apabila pengadil menghadiahkan penalti kepada lawan ketika di saat-saat akhir tetapi pujian harus diberikan kepada Hafizul selepas menggagalkan sepakan tersebut.

“Pemain-pemain lain juga menampilkan aksi terbaik dan jelas dilihat semua pemain mahu merakamkan kemenangan,” katanya.

Safiq juga menambah penguasaan bola serta percubaan ke arah gol yang lebih baik berbanding lawan adalah petanda positif buat pasukan kebangsaan.

Keputusan seri bertemu Hong Kong juga menyaksikan skuad kendalian Nelo Vingada menamatkan rentetan tiga kekalahan dalam aksi antarabangsa, sebelum ini.

“Apa yang penting, banyak peningkatan yang telah dilakukan oleh seluruh pasukan, terutama dari segi permainan, fokus dan semua pemain beraksi sebagai satu pasukan.”