Kapten Johor Darul Ta'azim (JDT), Safiq Rahim, mahu skuad Harimau Selatan memulakan saingan musim ini dengan langkah kenan sementara tonggak tengah Kedah, Baddrol Bakhtiar, bertekad membantu skuad Lang Merah mengakhiri penantian 23 tahun menjulang Piala Sumbangsih.

JDT dan Kedah akan berentap untuk aksi pembuka tirai Liga Malaysia 2017 menerusi perlawanan Piala Sumbangsih malam ini.

Bakal berlangsung di Stadium Larkin, antara tumpuan pertemuan itu nanti sudah pasti pertembungan Safiq dan Liridon Krasniqi di bahagian tengah.

Namun, Safiq enggan terlalu memikirkan perkara itu, sebaliknya fokus untuk memastikan kejuaraan hatrik Piala Sumbangsih buat JDT.

"Ini adalah perlawanan yang penting buat pasukan kerana ini adalah perlawanan pembukaan musim 2017.

"Kami menghormati pasukan Kedah, mereka memiliki skuad yang kuat, apatah lagi muncul juara Piala Malaysia musim lalu.

"Apa yang penting, kami di JDT perlu menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri," ujarnya.

Keazaman sama disuarakan Baddrol yang dijangka menjadi duri dalam daging kepada Harimau Selatan.

Mengakui kehadiran Sandro da Silva menambah sengat Lang Merah, Baddrol juga optimis terhadap keupayaan Kedah menyaingi JDT susulan aksi tanpa kalah pasukannya ketika aksi pra-musim.

"Ketika aksi pra-musim, kami telah membentuk pelbagai kombinasi dan dari situ, kami telah melakar keputusan yang positif.

"Insya-Allah kami akan menerapkan permainan sama berdepan JDT. Sekiranya tahun ini menjadi rezeki kami, Piala Sumbangsih akan dibawa pulang ke negeri Kedah," jelas Baddrol.