Penyerang sensasi PKNS FC, Safee Sali, mengakui kini dalam pemburuan tempat dalam skuad Harimau Malaya ke Piala Suzuki AFF selepas meledak satu gol untuk membantu pasukannya menewaskan Melaka United 2-0 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Safee merupakan pemain negara paling banyak membuat penampilan dalam kejohanan dwi-tahunan itu.

Beraksi dalam lima edisi sejak 2008 hingga 2016, penjaring terbanyak edisi 2010 itu kini memburu penampilan keenamnya di pentas berprestij itu.

Sedar ia bukan perkara mudah buatnya kali ini, penyerang berusia 34 tahun itu tetap menaruh harapan untuk kembali bersama skuad negara.

"Sudah tentu saya masih berharap panggilan skuad kebangsaan. Saya belum berpuas hati dan belum berputus asa untuk bersama skuad negara.

"Jika saya berada dalam perancangan mereka, Insya-Allah saya akan melakukan yang terbaik. Untuk Piala Suzuki pada tahun ini, saya akan beraksi bersungguh-sungguh dengan pasukan PKNS bagi membuka mata jurulatih pasukan kebangsaan, " ujar penyerang itu.

Kali terakhir dia dipanggil mewakili negara adalah dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Lubnan pada Jun tahun lalu.

Safee turut meluahkan rasa gembiranya selepas membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila menjaringkan gol keempat musim ini untuk membantu PKNS, semalam.

"Memang satu kemenangan berharga untuk pasukan. Kami berusaha sehingga minit-minit terakhir untuk memperbaiki kedudukan kami dalam liga.

"Terima kasih kepada pemain-pemain kerana bekerjasama untuk mencapai kemenangan malam ini (semalam)," katanya lagi.