Jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee, membuat kejutan ketika pengumuman senarai akhir 23 pemainnya apabila menggugurkan bintang muda, Safawi Rasid, daripada Kejohanan Piala Suzuki AFF di Myanmar, bermula hujung minggu ini.

Susulan daripada persaraan beberapa tonggak senior, Safawi tampak menjadi potensi besar buat skuad negara.

Ia berdasarkan aksi menyakinkannya sepanjang bersama T-Team musim ini biarpun masih di usia muda.

Namun, Safawi gagal memikat hati Kim Swee pada fasa pemilihan terakhir skuad negara apabila menjadi pemain ketiga dan juga yang terakhir digugurkan selepas pemain tengah, Nasir Basharuddin dan pertahanan kiri, Khuzaimi Piee yang mengalami kecederaan.

"Sukar untuk saya membuat penilaian antara seorang pemain dengan pemain lain. Keputusan saya lakukan ekoran faktor usia Safawi yang masih lagi muda, dan dia masih boleh beraksi bersama skuad bawah 22 tahun.

"Saya percaya Safawi mempunyai masa depan yang cukup cerah selepas ini," ujar Kim Swee.

Bagaimanapun, senarai akhir 23 pemain yang diumumkan Kim Swee hari ini tampak seimbang walaupun dibarisi rata-rata muka baru.

Perkara itu tidak dinafikan oleh pemain berpengalaman, Amri Yahyah dan Baddrol Bakhtiar.

"Pada penilaian saya ketika sesi latihan, kesemua pemain tidak mempunyai masalah dan saya berharap mereka akan lebih tenang ketika beraksi dalam Piala AFF dan memberikan fokus sepenuhnya dalam setiap perlawanan," jelas Amri.

Dalam pada itu, Baddrol berpendapat senarai akhir 23 pemain yang telah diumumkan oleh Kim Swee merupakan pilihan yang tepat.

"Pada saya, senarai akhir yang diumumkan oleh coach Kim Swee merupakan pilihan yang tepat. Selaku pemain, kami akan menjalankan semua arahan yang telah diberikan oleh coach dan memberikan komitmen sepenuhnya," kata Baddrol.