Sang Badak bakal kehilangan dua tonggak utama mereka apabila turun menentang Johor Darul Ta'zim (JDT II) dalam aksi liga, di Stadium Pasir Gudang, malam ini.

Ia termasuk penyerang import harapan mereka, Jonathan Behe yang mengalami kecederaan hamstring selain pemain tengah Azzizan Nordin yang mengalami masalah sama.

"Sudah pasti ketiadaan Behe dan Azzizan menjejaskan persiapan kita untuk perlawanan esok (hari ini), Behe telah menjaringkan dua gol selain menjadi penggerak kepada tiga lagi gol, setakat ini.

"Bagaimanapun, saya yakin pemain yang akan mengambil alih tugas mereka akan melakukan yang terbaik," katanya ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, semalam.

Vilmiaire berkata, beliau akan turut menyenaraikan tiga pemain muda dari skuad Piala Presiden iaitu Hamran Peter, O'Neil Shanahan M Bungkilan, dan Muhammad Zaki Sapri.

"Bagaimanapun, kita masih belum menentukan sama ada mereka akan berada dalam kesebelasan utama atau tidak, namun, yang pasti kita akan menurunkan pemain terbaik," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, perlawanan bertemu JDT II sentiasa sukar bagi mana-mana pasukan kerana mereka adalah antara pasukan terbaik dalam liga.

"Pasukan itu telah menjaringkan gol yang banyak tetapi juga dibolosi banyak kali, selain itu, JDT II juga telah mengalami dua kekalahan berturut-turut, sebelum ini, dan mungkin ini masa yang baik untuk kita bertemu mereka.

"Saya telah memberitahu para pemain supaya tidak gentar dengan pasukan lawan, bagi saya lawan sebenar mereka adalah diri mereka sendiri kerana jika mereka bermain dengan keyakinan yang tinggi, saya percaya mereka mampu menewaskan sesiapa saja dalam liga," katanya.