Ketua Pegawai Eksekutif Bayern Munich, Karl-Heinz Rummenigge, mendedahkan bahawa pengendali Chelsea, Antonio Conte, telah bertanya tentang pemain tengah Portugal, Renato Sanches, selepas aksi Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) di Singapura.

Sanches dilihat bakal meninggalkan Bayern menerusi pinjaman selepas hanya membuat enam penampilan dalam kesebelasan utama dalam tahun pertamanya di Allianz Arena.

Namun, khidmatnya tetap ditagih selepas menampilkan aksi memukau ketika pertemuan dengan Chelsea di Singapura, baru-baru ini.

“Terdapat harmpir 10 pasukan yang bertanya tentang Sanches,” kata Rummenigge.

“Conte bertanya tentangnya kerana dia melihat Sanches mampu mengubah sesuatu di atas padang.

“Carlo Ancelotti (jurulatih Bayern) berpuas hati dengan persembahannya pada pra-musim dan kami perlu menunggu keputusan daripadanya selepas ini,” tambahnya.

Setakat ini, AC Milan dilihat paling serius untuk mendapatkan khidmat pemain muda berusia 19 tahun itu selepas dilaporkan mengemukakan tawaran kepada Bayern.