Sebastian Rudy telah menyempurnakan perpindahannya ke Schalke daripada juara Bundesliga, Bayern Munich.

Pemain antarabangsa Jerman itu menandatangani perjanjian empat tahun untuk melengkapkan perpindahan bernilai € 16 juta (RM76 juta) bagi menamatkan musim bersama Bayern.

Ketibaan Rudy akan membantu Schalke menampung kehilangan Leon Goretzka yang berhijrah ke Bayern pada Januari lalu.

"Saya yakin dengan matlamat kelab dan ingin menjadi sebahagian daripada itu," kata Rudy kepada laman web Schalke.

"Dan saya sangat menanti-nantikan peminat dan suasana di Schalke."

Dalam pada itu, jurulatih Schalke, Domenico Tedesco, menjangkakan Rudy akan memberi kesan segera kepada pasukannya.

"Kami gembira kerana memiliki Sebastian untuk pengembaraan kami di sini di Schalke," kata Tedesco.

"Kami memiliki pemain pintar dan teknikal yang bijak dalam skuad, yang telah membuktikan kemampuannya di peringkat antarabangsa.

"Kami yakin dengan kualiti dan pengalamannya, dia akan menambah kualiti pasukan dan boleh membantu kami secara langsung."

Rudy dilihat terpaksa keluar dari Bayern berikutan pengambilan Goretzka -- yang kini akan digantikannya di Schalke -- tetapi mereka menghargai sumbangan individu yang banyak diberikannya kepada kelab itu.

"Saya berterima kasih kepada Sebastian di atas pencapaiannya," kata Ketua Eksekutif Bayern, Karl-Heinz Rummenigge.

"Dia telah memainkan peranan penting dalam memenangi kejuaraan keenam berturut-turut musim lalu. Kami mengucapkan selamat maju jaya buat Sebastian untuk masa depannya."