Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Datuk Rosmadi Ismail, mengumumkan pendiriannya untuk tidak bertanding jawatan presiden KAFA, sebaliknya memberi sokongan penuh kepada calon pilihan, Datuk Muhammad Nasir Hamzah, berdasarkan pengalaman yang dimiliki tokoh tersebut.

Katanya, pengalaman berada dalam KAFA selama enam tahun menjadi bonus berganda kepada Nasir yang cukup memahami segala permasalahan yang menghantui persatuan ini untuk diangkat mengisi kerusi nombor satu itu.

“Secara peribadi, saya lebih suka ‘orang dalam’ KAFA sendiri mengetuai persatuan ini dan melihatkan senarai calon yang menawarkan diri bertanding jawatan presiden, Nasir adalah yang paling layak.

“Beliau mempunyai pengalaman sebagai bekas timbalan bendahari dan sejak empat tahun lalu dipilih sebagai naib presiden KAFA. Mempunyai aura yang tersendiri untuk memimpin persatuan ini dan mengembalikan semula kegemilangan bola sepak Kelantan,” katanya.

Ditanya mengenai kemampuan calon lain yang berminat untuk mengisi jawatan presiden, Rosmadi menghormati pendirian mereka sambil mengingatkan pengurusan KAFA memerlukan tokoh yang mempunyai bakat kepimpinan yang hebat.

“Saya menghormati semua calon yang tampil ke depan dan menawarkan diri bertanding jawatan presiden. Namun, kita harus ingat bahawa menguruskan KAFA tidak semudah yang disangka.

"Persatuan ini memerlukan seorang tokoh yang memiliki komitmen tinggi dan mampu menggerakkan semua individu untuk bekerjasama sebagai satu pasukan yang kuat,” katanya.

KAFA akan mengadakan Kongres Agung Tahunan Kali ke-63 pada 17 September depan dan mempelawa calon yang berkelayakan untuk memimpin badan induk bola sepak negeri itu bagi penggal 2017-2021.

Kongres itu akan dihadiri perwakilan dari persatuan bolasepak jajahan (PBJ) dan ahli gabungan lain.

Ia menjadi tumpuan peminat The Red Warriors (TRW) bagi menyaksikan presiden baru yang akan memimpin KAFA untuk empat tahun akan datang.