Penyerang import Sarawak, Mateo Roskam, dijangka menjalani proses imbasan MRI hari ini bagi mengenal pasti kecederaan yang dialaminya.

Pemain berusia 29 tahun itu sebelum ini tidak dapat beraksi dalam pertemuan menentang Kedah berikutan kecederaan pada bahagian paha.

Malah, Roskam yang tersenarai sebagai kesebelasan utama, hanya sempat memanaskan badan dan pada separuh masa kedua, dia terpaksa memakai pendakap kaki.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut dengan pakar perubatan gagal menemui punca kesakitannya yang membawa kepada ujian MRI hari ini.

Jurulatih Sarawak, David Usop, berkata beliau kecewa tidak dapat menurunkan Roskam dalam aksi tersebut tetapi tidak mempunyai sebarang pilihan.

"Kini kami sedang menyelidiki latar belakang dan sikapnya.

"Kami memilihnya dahulu pun kerana terdesak untuk mendapatkan penyerang," jelasnya.

Roskam memenuhi ciri-ciri yang diperlukan, menyebabkan skuad itu tidak menyelidiki latar belakang pemain itu sepenuhnya.

Menurut David, jika keputusan MRI menunjukkan sebaliknya, beliau akan berbincang dengan pemain yang berasal dari Split, Croatia itu untuk mengenal pasti masalah sebenarnya.

"Kami akan lihat perkembangannya selepas itu. Hendak membuat keputusan sebarangan ... itu bukan cara kami. Semuanya perlu direkodkan," tambahnya lagi.

Menghadapi perlawanan menentang Pahang, beliau beharap dapat menurunkan Roskam.

"Memang saya perlukan penyerang import di dalam pasukan kerana keadaan fizikal dan keupayaan mengawal bola. Tetapi jika dia tidak mampu dan tidak cergas, kami terpaksa lupakan dahulu.

"Sewaktu aksi di Stadium Darulaman yang lalu, kami menang sepanjang 70 minit tanpa bantuannya, " ujarnya lagi.

Posisi Roskam kemudian diambil alih penyerang muda, Abdul Rahim Abdul Razak, yang menunjukkan mutu permainan yang bertenaga, berani dan sering mencemaskan kubu lawan.

David turut membayangkan untuk menurunkan Abdul Rahim sekali lagi jika Roskam tidak cergas untuk beraksi di hadapan penonton sendiri kelak.

Roskam sebelum ini pernah beraksi semusim bersama-sama Sime Darby pada 2014 dan mencipta sembilan gol menerusi 28 penampilan.

Pada musim 2015-2016, dia mencipta lapan gol untuk Tampines Rovers dalam 30 penampilan.