Wayne Rooney menyifatkan kekalahan 1-5 Everton kepada Atalanta dalam saingan Liga Europa sebagai sesuatu yang "menyedihkan" tetapi tetap yakin pengendali sementara, David Unsworth, membawakan impak positif kepada pasukan.

Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sudah terlepas peluang untuk layak ke pusingan seterusnya sebelum aksi di Goodison Park selepas sekadar meraih satu mata hasil daripada empat perlawanan dalam Kumpulan E.

Keperitan itu ditambah oleh anak buah Gian Piero Gasperini walaupun pelawat terlepas peluang menambah gol pada awal babak kedua susulan kegagalan Alejandro Gomez menjaringkan gol menerusi sepakan penalti.

"Tiada perkara yang berjalan dengan lancar dalam perlawanan hari ini kecuali kebanggaan. Kalah dalam aksi sebegini dengan disiplin yang kami tampilkan, ia jelas sesuatu yang mengecewakan," kata Rooney.

"Tidak banyak perkara yang boleh ditambah. Kami mahu memenangi perlawanan tetapi gagal, ia amat pedih buat kami.

"Selepas meraih gol untuk merapatkan jurang kepada 2-1, kami kembali beraksi dengan baik dan berpeluang untuk menambah gol. Malangnya, kami tidak dapat mengekang lawan dalam situasi bola mati," tambahnya.

Perlawanan itu adalah aksi keenam Everton di bawah kendalian Unsworth selepas pemecatan Ronald Koeman dan bekas pertahanan Toffees itu kini mengharungi empat kekalahan.

"Kami cuba mendapatkan mata dalam saingan liga dan mengubah kedudukan.

"Ia adalah keputusan pihak pengurusan. Sejak Unsworth tiba di sini, keadaan menjadi bagus. Kami meraih beberapa perlawanan yang positif dan semua pemain menikmati sesi latihan," tambahnya.

Rooney turut beraksi dalam perlawanan menentang Crystal Palace pada minggu lalu dalam aksi yang berkesudahan seri 2-2.