Wayne Rooney mendedahkan Everton mahu dia meninggalkan kelab itu sebelum berhijrah ke DC United bulan lalu.

Rooney kembali ke Goodison Park, Julai tahun lalu selepas 13 tahun bersama Manchester United dan menjaringkan 11 gol buat The Toffees, mengakhiri musim 2017-18 sebagai penjaring terbanyak kelab.

Pemain berusia 32 tahun itu gagal mencari aksi yang konsisten dan pengurus baru, Marco Silva, dan pengarah kelab, Marcel Brands, mengesahkan bulan lalu bahawa bekas kapten England itu sedang berbincang dengan kelab Liga Bolasepak Utama (MLS), DC United.

Penyerang itu, yang menyempurnakan perpindahan pada 28 Jun lalu dengan menandatangani kontrak selama tiga setengah tahun, mendedahkan keputusannya untuk meninggalkan Merseyside bukan hanya terletak di tangannya.

Rooney -- yang bakal membuat penampilan sulung berdepan Vancouver Whitecaps, esok -- memberitahu ESPN, "Ketika bersama Manchester United, saya kurang beraksi dan masih boleh kekal kerana kontrak saya masih berbaki dua tahun.

"Tetapi saya mahu beraksi, kembali ke Everton untuk musim lalu tetapi mereka amat gembira kerana saya tidak kekal lama di Merseyside.

"Atas sebab apa, saya masih tidak tahu. Saya telah mencuba yang terbaik dan muncul penjaring terbanyak pasukan walaupun beraksi sebagai pemain tengah.

"Jadi, saya bercakap dengan kelab sama ada mereka masih memerlukan saya ataupun tidak. Tetapi saya telah mengambil keputusan dan berasakan ini adalah yang terbaik untuk saya."