Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo, melaungkan keyakinan mampu terus beraksi pada tahap terbaik bola sepak.

Kapten Portugal itu kini berusia 33 tahun dan mula menunjukkan penurunan prestasi pada musim ini buat kali pertama sepanjang kariernya.

Dia hanya mencatat lapan jaringan hasil daripada 17 perlawanan liga dan empat daripadanya hadir dalam dua aksi terakhir walaupun meraih sembilan gol selepas enam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Bagaimanapun, Ronaldo menyangkal dakwaan itu.

"Secara peribadi, waktu ini adalah waktu terbaik buat saya. Keluarga saya telah berkembang dan saya gembira dengan kehidupan yang dimiliki.

"Di tahap profesional, saya mengharungi dua tahun yang hebat, memenangi kejuaraan bersama kelab dan pasukan kebangsaan. Saya dapat rasakan mampu terus meningkat untuk tempoh beberapa tahun lagi," katanya.

Dalam masa sama, dia mengakui terpaksa mengubah kehidupannya dalam usaha untuk mengekalkan tahap kecergasan.

"Kehidupan adalah satu cabaran daripada semua bahagian dan saya cuba berada di tahap tertinggi kerana ia sangat penting dalam kerjaya.

"Untuk mengekalkan tahap itu, banyak pengorbanan perlu dilakukan. Terdapat perkara yang saya lakukan ketika berusia 20 tahun tetapi tidak boleh dilakukan lagi. Anda perlu mendapatkan keseimbangan.

"Saya seorang yang bercita-cita tinggi. Setiap orang harus mengejar impian. Saya sudah mendapatkannya dan mahu meneruskan impian itu, meningkatkannya lagi dengan lebih banyak jaringan. Saya lebih banyak fokus kepada masa sekarang berbanding masa lalu," tambahnya.