Pavel Nedved menganggap kehadiran Cristiano Ronaldo meningkatkan kedudukan Juventus dalam kalangan pasukan elit Eropah.

Ronaldo meninggalkan juara Eropah, Real Madrid, bagi menyertai Juve dengan perpindahan bernilai EURO112 juta (RM523 juta) dan bintang Portugal itu menjaringkan gol pertama buat penyandang Scudetto itu kelmarin.

Pemain berusia 33 tahun itu menemui sasaran dalam aksi persahabatan di antara pemain senior dan remaja kelab berkenaan.

Berbincang mengenai kehadiran Ronaldo, Nedved memberitahu Juventus TV: "Juventus kini selangkah ke hadapan dalam kalangan pasukan elit di Eropah.

"Dengan kehadiran Ronaldo, kami kini berada di tahap berbeza.

"Ia memberikan lebih lagi pada masa akan datang, sekali gus kepada bola sepak Itali," ujarnya.

Juve telah mengharungi pra-musim yang sibuk bagi memperkuatkan lagi pasukan, dengan membawa masuk pemain seperti Emre Can, Mattia Perin dan Joao Cancelo, di samping berjaya mendapatkan semula Leonardo Bonucci yang kembali ke Turin.

Juve menandatangani pemain tengah Jerman, Can, secara percuma daripada gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool.

"Kurang perbincangan mengenai Can tetapi ia merupakan satu penghijrahan yang sangat penting.

"Banyak kelab di Eropah mahu mendapatkan khidmatnya tetapi kami berjaya membawanya ke Turin. Dia seorang pemain yang sangat berkualiti daripada segi teknikal dan taktikal."