Cristiano Ronaldo nyata tidak mengecewakan semasa menyarung jersi Juventus buat kali pertama apabila menjaringkan gol ketika menang 5-0 dalam perlawanan persahabatan tahunan menentang kelab remaja pasukan itu, awal hari ini.

Bintang Portugal itu menyertai Juve dari Real Madrid bulan lalu dalam perjanjian bernilai €112 juta (RM521 juta), mengakhiri kerjasama sembilan tahun dengan Los Blancos setelah memenangi tiga gelaran Liga Juara-Juara Eropah berturut-turut.

Dan dalam persembahan tidak rasmi pertamanya, dia hanya mengambil masa lapan minit untuk membuat perbezaan, meloloskan diri daripada pertahanan pasukan Primavera dan dengan kencang melepaskan rembatan yang melewati jangkauan penjaga gol, Leonardo Loria.

Dia memainkan peranan dalam gol kedua, meletakkan Riccardo Capellini di bawah tekanan ketika hantaran rendahnya tiba di dalam kotak penalti dan pemain muda Juve itu menyepak ke arah golnya sendiri.

Paulo Dybala kemudian menjaringkan golnya daripada tindakan susulan selepas Loria gagal menyelamatkan percubaan Ronaldo.

Pemain berusia 33 tahun itu dibawa keluar pada separuh masa pertama tetapi tidak sebelum seorang penyokong fanatik masuk ke padang dan memeluknya sehingga memerlukan bantuan dua pengawal untuk membawanya keluar.

Juve menjadikan kedudukan 5-0 pada awal babak kedua melalui Claudio Marchisio sebelum pencerobohan padang tradisional membawa perlawanan itu tamat pada minit ke-70.