James Rodriguez menikmati aksi pertama bersama Bayern Munich di Borussia-Park hari ini apabila membantu juara Bundesliga itu mempertahankan gelaran Piala Telekom, dengan Corentin Tolisso juga membuat penampilan sulung untuk kelab itu.

Bayern menewaskan Werder Bremen 2-0 dalam final, dengan Thomas Muller dan Juan Bernat dalam senarai penjaring, manakala Rodriguez -- menandatangani perjanjian pinjaman dua tahun dari Real Madrid awal minggu ini -- memberi impak terhadap skuad Carlo Ancelotti.

Muller membazirkan peluang untuk mencipta kemenangan lebih besar dari tempat penalti tetapi percubaannya dinafi, sebelum separuh masa kedua berlangsung tanpa sebarang tambahan jaringan.

Skuad Ancelotti telah memenangi empat daripada lima Piala Telekom yang terakhir, setelah turut menewaskan Mainz 2-1 untuk meraih gelaran sebelum ini pada Januari.

Muller, memakai lilitan kapten berikutan persaraan Philipp Lahm, mengutip hantaran dari sayap kanan, sebelum melakukan rembatan ke arah sudut dari jarak 20 meter untuk menewaskan Michael Zetterer pada minit ke-13.

Dan kemenangan diperoleh selepas 34 minit dengan gerakan menarik menyaksikan bek kiri, Bernat, menyempurnakan jaringan hasil permainan satu-dua dengan Muller.

Tidak lama kemudian, Muller mempunyai peluang untuk menambah golnya apabila penyerang muda, Franck Evina, dijatuhkan dalam kawasan penalti.

Tetapi Zetterer melayangkan badan ke kanannya untuk menafikan percubaan Muller.