Pemain baru Kelantan United FC, Wan Mohamad Ridhwan Deraman, mahu membalas budi pihak pengurusan dengan memberikan aksi terbaik bagi memburu kemenangan ke atas DDM FC dalam saingan Liga M3 di Stadium Sultan Muhammad IV, malam esok.

Mohamad Ridhwan, yang juga bekas pemain The Red Warriors (TRW), yakin pengalaman yang dikutip sepanjang menyarung jersi Merah Putih akan digunakan sepenuhnya bagi membantu Kelantan United menjuarai saingan Liga M3.

"Terima kasih kepada pihak pengurusan KUFC, terutama presiden (Datuk Che Abdullah Mat Nawi ) yang mempercayai bakat saya untuk membantu kelab ini mengharungi baki saingan Liga M3.

"Insya-Allah, dengan pengalaman yang ada, saya ingin membalas budi pihak pengurusan dengan memburu kemenangan dalam penampilan pertama," katanya.

Mengulas pertemuan menentang skuad DDM FC, Mohamad Ridhwan yang juga bekas kapten skuad The President Warriors (TPW), mengakui pasukannya bakal berdepan laluan sukar setelah melihat peningkatan lawan yang berpangkalan di ibu kota itu.

"Mereka (DDM FC) berada di tangga kedua liga dan sudah pasti mahu memburu kemenangan untuk memintas Kuching FA sebagai pendahulu baru.

"Kami mahu teruskan rentak kemenangan dan harap penyokong setia terus memberikan sokongan padu untuk memburu tiga mata berharga," katanya.

Untuk rekod, selain Mohamad Ridhwan, Kelantan United juga membawa masuk Mohd Badhri Radzi atau Piya, Mohd Nizab Ayub, Mohd Azrean Aziz, Mohd Ainan Yusoff dan penyerang import dari Gambia, Alfusainey Gassamu.

Kredit Foto: KUFC